Tidak seorang pun daripada manusia yang mampu membohongi
hakikat, bahawa di dalam tubuhnya itu ada hati. Dan hati tersebut pula
diciptakan oleh Allah dengan satu keistimewaan, iaitu menjana al-hub yakni rasa
cinta,kasih dan sayang.
Itulah yang dinamakan sebagai fitrah.
Menidakkan peranan dan hakikat fitrah seumpama cuba menukar
manusia menjadi satu makhluk yang lain. Kerja yang sia-sia dan hanya mengundang
derita tiada sudah.
Justeru terlebih dahulu, marilah kita bersama-sama bercakap
dengan diri sendiri. Bisikkan kepada diri sendiri bahawa tidak ada salahnya
mengakui hakikat penciptaan seorang manusia, yang ada jiwa dan ada cinta.
Islam tidak pernah menyekat fitrah dan naluri manusia. Jika
manusia melihat Islam sebagai suatu peraturan dan cara hidup yang menyekat,
bermakna manusia tersebut masih belum mengenali Islam dalam ertikata yang
sebenar.
TERIMA HAKIKAT, FAHAMI DAN BERTINDAK
Lihatlah jam di dinding. Perhati detikan jarum panjang dan
pendeknya. Renungi dan tanamkan dalam diri anda, bahawa lambat laun fitrah
dalam diri tetap akan bersuara. Kebenaran itu tidak bisu. Sampai masanya, ia
tetap akan bercakap dengan anda.
Menyedari hakikat tersebut, maka jalan yang bijak bukanlah
‘memerangi’ sebaliknya bersedia untuk menerima. Jangan perangi fitrah dalam
diri anda mahupun diri orang lain. Apabila seorang saudara anda mengeluh jatuh
hati atau jatuh cinta, jangan dikecam orang tersebut. Begitu juga apabila hati
anda bersuara dengan jelas kepada anda tentang fitrahnya, maka jangan dikecam
jiwa anda sendiri.
Jika dari awal, anda menyediakan otak untuk ‘menerima’ dan
bukannya ‘memerangi’ , maka saya kira anda boleh bertindak dengan lebih rasional,
matang dan bijak. Bertindak atas dasar kefahaman dan bukannya emosi
semata-mata.
PANDU KE JALAN SELAMAT
Anda perlu faham bahawa jatuh cinta itu bukan suatu
kesalahan. Jika ditakdirkan tiba-tiba anda terjatuh hati, atau terpikat, atau
tersuka kepada seseorang yang mana sebelumnya perasaan tersebut langsung tidak
ada, maka terima dan raikannya perasaan ataupun ‘suara jiwa’ anda terlebih
dahulu.
Ini kerana ada golongan yang kelihatannya langsung tidak
mahu bertolak ansur dengan suara jiwa mereka sendiri. Kata mereka itu suara
Syaitan. Suara nafsu. Bukan suara Iman. Lantas mereka bersifat keras terhadap
suara jiwa mereka sendiri, dan lebih malang apabila orang sekeliling mereka
turut dipaksa untuk mengambil pendirian yang sama.
Meraikan suara jiwa anda bukan bermakna membiarkan diri anda
hanyut. Itu kena jelas.
Sebab itu saya bercakap soal panduan. Setiap masalah, ada
penyelesaian. Setiap perkara, ada tempat duduknya. Soal hati dan perasaan juga
begitu. Ada tempat duduknya sendiri. Justeru menafikan tempat duduknya adalah
suatu bentuk kezaliman.
Raikan perasaan suka. Raikan perasaan minat. Raikan perasaan
terpikat. Jangan kecam dan jangan salahkan diri sendiri. Ini step yang sangat
penting ketika anda jatuh cinta.
Kemudian, setelah anda mampu meletakkan diri anda dalam
konteks yang betul, stabil dan meraikan bahasa jiwa, maka barulah anda boleh
‘memandu’ fitrah tersebut ke jalan yang sepatutnya.
PANDUAN PERTAMA : HUBUNGAN DENGAN ALLAH
Ini paling penting. Saat jatuh hati dan terpikat itu,
bagaimana sebenarnya hubungan anda dengan Allah? Solatnya bagaimana, zikirnya
bagaimana, bacaan Al-Quran dan amalan sunat yang lain di tahap mana?
Ini kerana, suara hati yang selamat adalah suara hati yang
paling teguh dan kukuh hubungannya dengan Allah. Di dalam hadith Nabi s.a.w
menyebut bagaimana hati boleh menjadi hitam, gelap dan keras akibat daripada
amalan dosa tanpa taubat.
Justeru hati yang seperti itu – semoga Allah jauhkan –
bicaranya sangat bahaya. Bicaranya lebih condong ke arah kejahatan, kemungkaran
dan kemaksiatan. Maka berhati-hati. Tatkala mahu mendengar suara hati tersebut,
perbaiki dahulu perhubungan dengan Allah ta’ala.
PANDUAN KEDUA : IMAN ATAU NAFSU
Tanya kembali pada hati, apa yang membuatkan anda terpikat?
Anda mungkin sukar untuk jujur dengan orang lain. Tapi anda secara hakikatnya
boleh jujur dengan diri sendiri. Kalau faktor rupa paras atau bentuk tubuhnya
sangat dominan di pertimbangan anda, besar kemungkinan anda akan berdepan
dengan jatuh hati pada banyak lagi keadaan yang lain. Maknanya, hari ini
terpikat dengan Timah, esok dengan Yati pula. Lusa nampaknya Ina lebih baik,
dan sebagainya.
Tetapi jika faktor budi bahasanya, atau kecantikan akhlaknya
yang mendominasi, anda lebih dekat dengan zon selamat. Tinggal lagi untuk
mengawal dan mengemudi hati ke landasan yang sepatutnya.
PANDUAN KETIGA : MASUK SECARA TERHORMAT
Dalam Islam, bab hubungan manusia sesama manusia adalah bab
yang diperakui. Tidak ada mana-mana bahagian pun dalam Islam yang mencacatkan
atau menidakkan soal hubungan manusia sesama manusia, sebaliknya sangat
dititkberatkan dan disertakan pula dengan pelbagai panduan dan peraturan.
Maka untuk menyambut suara hati dan memandunya ke jalan
selamat, cara terbaik adalah dengan ‘masuk’ secara terhormat. Masuklah ke dalam
hidupnya dengan cara yang paling baik. Bukan melalui pintu belakang.
Rumah buruk macam mana sekalipun, kalau kita masuk ikut
tingkap atau pintu dapur, tuan rumahnya tetap pasti merasa marah.
PANDUAN KEEMPAT : KETUK PINTU DENGAN ADAB
Sebelum masuk ke rumah orang, terlebih dahulu ketuklah pintu
dan berilah salam. Kita sebagai tetamu, kalau datang dengan cara baik,
insyaAllah tuan rumah juga akan layan kita dengan cara yang baik.
Apa yang penting adalah kita lakukan dengan adab sebagai
seorang muslim. Cara untuk ‘mengetuk pintu’ itu pelbagai. Samada sendiri atau
menggunakan perantaraan seperti orang tengah dan sebagainya.
PANDUAN KELIMA : MENGENAL BESAR DAN LEBIH BESAR
Ketika perasaan tersebut menyesak jiwa dan mengganggu hati
kita, biasanya kita terdorong untuk menganggap bahawa itulah persoalan paling
besar yang perlu diatasi. Dengan apa cara sekalipun, perasaan tersebut mesti
tertunai dan si dia mesti dimiliki.
Sebab itu ada yang mengistilahkan ia sebagai soal ‘hidup dan
mati’. Seolahnya, kalau tak dapat akan menderita hingga mati.
Islam ternyata lebih awal menyediakan solusi untuk kita.
Islam mendidik kita supaya membezakan antara perkara besar dengan yang lebih
besar. Di dalam sebuah hadith Nabi s.a.w bersabda tentang takdir : Telah
diangkat kalam dan telah keringlah dakwat.
Bermakna, semua perkara telah ada ketetapannya, termasuklah
apa yang sedang kita usahakan. Justeru, melipatgandakan usaha dan ikhtiar itu
tidak salah, cuma perlu dikawal supaya tidak ‘mencabar’ perkara yang lebih
besar iaitu TAKDIR.
Paling cantik, mantapkan dahulu iman dan keyakinan dalam
diri sebelum ‘mencabar’ diri untuk tampil ‘mengetuk pintu’.
PANDUAN KEENAM : BAHAGIA DAN TERSENYUM
Dalam melaksanakan beberapa panduan di atas, kita akan
berdepan dengan beberapa natijah :
a) Dia yang kita suka pada awalnya, tetapi apabila
diperhalusi rupanya kesukaan tersebut lebih diserabuti duniawi semata-mata,
lalu kita kembali memperkasa cinta hakiki sebelum akhirnya menemui sejenis
ketenangan padanya. Lalu kita tersenyum dan bahagia.
b ) Dia yang kita suka, rupanya juga menyukai kita, dan
jalan ke arah pernikahan begitu mudah pula. Akhirnya bersatu di alam
rumahtangga. Lalu kita tersenyum dan bahagia.
c ) Dia yang kita suka atau terpikat, rupanya sudah
mempunyai seseorang di hatinya. Lalu kita bersabar dan merujuk kembali kepada
perkara lebih besar iaitu soal takdir. Akhirnya kita temui ketenangan sebelum
mampu tersenyum dan bahagia.
d ) Dia yang kita suka rupanya tidak ditakdirkan untuk kita,
tetapi dalam waktu yang sama Allah bukakan jalan baru untuk kita dan dengan
mudahnya keperluan kita terlaksana dengan seseorang yang kita sendiri tidak
jangka. Akhirnya kita tersenyum dan bahagia.
Dalam apa keadaan sekalipun, kata kunci untuk tersenyum dan
bahagia adalah REDHA. Justeru sangatlah penting untuk memegang panduan pertama
yakni soal hubungan hati dengan Allah dalam menelusuri panduan-panduan
seterusnya.
Yang penting, kita yakin bahawa setiap orang ada takdirnya
masing-masing. Justeru mengapa tidak kita dan mereka berbahagia dengan apa yang
telah ditetapkan oleh Allah ke atas setiap daripada kita?
:: Hak Cipta : myilham.com