Thursday, 12 April 2012

Perjalanan Hidup (Sayang Mak & Ayah)

9 bulan kita dibesarkan dalam perut ibu yang melahirkan kita. Dari peringkat NUTFAH iaitu peringkat pertama bermula selepas persenyawaan sehinggalah peringkat terakhir iaitu NAFKHUR-ROH apabila roh ditiupkan kedalam jasad yang sedang berkembang. Keperitan ibu yang melahirkan kita tidak tertanggung rasanya. Hanya seorang insan yang bergelar ibu tahu akan kesakitan yang dialami semasa ingin melahirkan seorang anak yang akan memberi harapan besar suatu hari nanti.


Apabila kita sudah dilahirkan, kasih sayang yang tidak terhingga dicurahkan oleh kedua ibu bapa kita. Mereka sanggup tidak makan asalkan anak mereka kenyang, mereka sanggup bekerja susah asalkan anak mereka hidup senang, mereka sanggup buat apa sahaja demi mencapai kebahagiaan untuk anak mereka. Pengorbanan dan jasa ibu bapa kita tidak ternilai dan tidak tebalas. Semasa kita kecil ditimag, disayang, dicium dan sebagainya. Anak adalah harta paling berharga bagi mereka.


Bila kita sudah meningkat membesar, pelajaran yang secukupnya diberikan kepada kita. Setiap pagi ibu sanggup bangun awal menyediakan sarapan untuk kita ke sekolah. Ayah pula menghantar ke sekolah tiap-tiap hari tanpa jemu untuk melihat kejayaan anak mereka dan inginkan anak mereka menjadi seorang insan yang berguna. Karenah kita terpaksa dituruti walaupun mereka tidak mampu. Semasa baru permulaan kita mengenal erti pelajaran, semasa kita mula melangkah alam pelajaran dan semasa kita mula berdikari untuk belajar sesuatu tanpa bantuan ibu bapa, segalanya bermula ketika kita di taska seterusnya sekolah rendah, diikuti sekolah menengah dan akhirnya di tempat yang lebih tinggi sehingga ke menara gading. Ibu bapa tidak  pernah lupa mendoakan kejayaan anak mereka. Setiap doa mereka tidak pernah ditinggalkan untuk mendoakan kejayaan anka-anak walaupun kadang kala kita alpa dan leka terhadap mereka.


Dan bila kita sudah dewasa, sudah pandai mengurus kehidupan sendiri, jangan sesekali kita melupakan pengorbanan mereka yang telah membesarkan kita sehingga kini. Janganlah kita menderhaka kepada mereka yang selama ini telah melimpahkan kasih sayang yang secukupnya kepada kita.  
Firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat 23-24:
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

No comments:

Post a Comment