KASIH sayang anugerah Allah SWT kepada makhluk-Nya untuk
mereka hidup harmoni dan berkongsi rasa cinta serta belas kasihan dalam
perjalanan singkat yang dinamakan kehidupan.
Begitu indah kasih sayang Allah SWT kepada setiap hamba-Nya
dengan mengurniakan insan yang setia berdamping sejak awal usia kandungan lagi.
Ditetapkan untuk setiap manusia itu hidup selamat dalam rahim kira-kira
sembilan bulan sepuluh hari.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Kami telah
menasihati manusia supaya berlaku baik kepada kedua-dua orang tuanya ketika
mana ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan yang teramat berat
keperitannya dan (mengarahnya) untuk memutuskan penyusuan setelah (bayi)
berumur dua tahun, maka syukurlah kamu kepada-Ku dan seterusnya kepada
kedua-dua ibu bapamu dan kepada-Ku kamu akan kembali.” (Surah Luqman, ayat 14)
Pada usia kandungan itu jugalah kita sebagai manusia
bergantung harap kepadanya atas nama kehidupan, kerana nyawa kita bersama
nyawanya dan setiap darah yang mengalir dalam tubuhnya membolehkan kita hidup
selesa, selamat, tenang, harmoni dan tiada sebarang gangguan.
Begitu mulianya pendamping setia kita iaitu ibu. Apabila
menyebut mengenai erti kasih sayang seseorang ibu, maka terbayang dalam lipatan
pemikiran kasih sayang yang tiada nilainya sejak kita dalam kandungan
sehinggalah dewasa.
Tahukah kita ketaatan kepada ibu besar tuntutannya seperti
firman Allah yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah mewajibkan supaya tidak
menyembah selain dari-Nya dan berlaku baik kepada ibu bapa.” (Surah al-Isra’,
ayat 23)
Allah SWT meletakkan kewajipan mentaati ibu bapa selepas
kewajipan mentauhidkan-Nya. Al-Quran juga menceritakan pengorbanan seseorang
ibu semasa mengandungkan anaknya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Kami telah menasihati manusia supaya berlaku baik kepada kedua-dua orang tuanya ketika mana ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan yang teramat berat keperitannya dan (mengarahnya) untuk memutuskan penyusuan setelah (bayi) berumur dua tahun, maka syukurlah kamu kepada-Ku dan seterusnya kepada kedua-dua ibu bapamu dan kepada-Ku kamu akan kembali.” (Surah Luqman, ayat 14)
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Kami telah menasihati manusia supaya berlaku baik kepada kedua-dua orang tuanya ketika mana ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan yang teramat berat keperitannya dan (mengarahnya) untuk memutuskan penyusuan setelah (bayi) berumur dua tahun, maka syukurlah kamu kepada-Ku dan seterusnya kepada kedua-dua ibu bapamu dan kepada-Ku kamu akan kembali.” (Surah Luqman, ayat 14)
Apabila melihat realiti yang berlaku dewasa ini, kita dapati
anak semakin kurang memberi tanggungjawab serius terhadap hak penjagaan
kedua-dua ibu bapa mereka. Betullah kata-kata, seorang ibu mampu menjaga 10
anak, tetapi 10 anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu.
Tidak keterlaluan untuk saya nyatakan, semakin ramai dalam
kalangan kita yang berani menderhaka kepada ibu bapa sama ada dengan
menengking, marah atau tidak ambil peduli langsung kebajikan kedua-dua ibu bapa
mereka.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Janganlah kamu berkata
kepada keduanya (ibu bapa) dengan perkataan ‘ah’ dan janganlah pula kamu
mengherdik mereka. Bercakaplah kepada mereka dengan perkataan yang mulia.”
(Surah al-Isra’, ayat 23)
Berdasarkan firman Allah SWT ini, ulama mengeluarkan hukum
hanya dengan menyebut perkataan ‘ah’ dan seumpamanya kepada kedua-dua ibu bapa
boleh menyebabkan seseorang itu terjerumus dalam dosa penderhakaan.
Sesuatu yang lebih menyayat hati apabila ada anak yang
sanggup berlaku ganas dengan memukul malah sanggup membunuh ibu bapa sendiri
atas hasutan nafsu dan syaitan. Di manakah ihsan kita?
Sememangnya tanggungjawab menjaga ibu bapa adalah satu tugas
yang berat, namun apakah sama taraf bandingnya dengan keperitan mereka lalui
ketika mengandungkan, melahirkan seterusnya mendidik kita dengan didikan yang
sempurna?
Direkodkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Sahihnya, Nabi
SAW didatangi seorang lelaki untuk bersama berjihad dalam peperangan. Lalu Nabi
SAW bertanya: Adakah kamu sudah meminta izin daripada kedua-dua ibu bapamu?
Lantas lelaki itu menjawab: Belum. Maka Nabi SAW menyuruhnya untuk pulang
meminta izin daripada kedua-duanya dan jika tidak dibenarkan untuk turut sama
berperang maka Nabi SAW menyuruhnya untuk kekal berbakti kepada keduanya.
Berlaku baiklah kepada kedua-duanya walaupun sesibuk manapun
kita. Jika ada perselisihan, maka berbincanglah dengan baik dan mendahulukan
kehendak ibu bapa itu lebih utama berbanding kehendak diri dan keluarga kita.
Janganlah kerana kepentingan isteri dan anak, kita melupakan
tanggungjawab penjagaan kedua ibu bapa. Turutilah kata mereka selagi tidak
bercanggah dengan syariat Islam. Jika bercanggah dengan syariat maka tolaklah
dengan baik dan janganlah menderhaka kepada kedua-duanya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apabila mereka
menyuruh engkau menyekutukan-Ku dengan sesuatu yang tidak engkau ketahui maha
janganlah engkau taati mereka berdua dan bergaullah dengan mereka berdua di
dunia secara baik.”
Ibnu Kathir menukilkan kisah seorang sahabat, Saad bin Abi
Waqqas yang menolak permintaan ibunya untuk meninggalkan agama Islam
sehinggakan ibunya mengugut Saad bin Abi Waqqas untuk tidak makan dan minum
sehinggalah beliau meninggalkan Islam.
Maka turunlah perintah Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah mewasiatkan kepada manusia untuk berlaku baik kepada
kedua-dua ibu bapa. Jika mereka menyuruh kamu mesyirikkan-Ku dengan apa yang
engkau tidak ketahui maka janganlah kamu mentaatinya.” (Surah al-‘Ankabut, ayat
8).
SUMBER : imamudasyraf.com
No comments:
Post a Comment